Saturday, November 30, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura gantung 4 pengedar dadah dalam tempoh tiga minggu

    SINGAPURA, 29 NOV – Singapura melaksanakan hukuman gantung ke atas seorang lelaki berusia 35 tahun, Masoud Rahimi Mehrzad, warga Singapura-Iran, hari ini kerana mengedar dadah, menjadikannya individu keempat yang dijatuhkan hukuman mati dalam tempoh kurang sebulan, meskipun terdapat rayuan dari Tehran agar hukuman itu disemak semula.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia menyatakan bahawa hukuman mati tidak mempunyai kesan pencegahan yang terbukti dan telah menggesa agar hukuman tersebut dihapuskan.

    Namun, pegawai Singapura menegaskan bahawa hukuman mati telah membantu menjadikan negara itu antara yang paling selamat di Asia.

    Masoud Rahimi Mehrzad, seorang warganegara Singapura yang dilahirkan di negara kota itu dan ibunya juga warga Singapura, manakala bapanya warga Iran, disabitkan kesalahan pada 2013 kerana mengedar dadah.

    Setelah dimaklumkan mengenai hukuman gantung yang bakal dilaksanakan, Masoud mengemukakan rayuan pada saat-saat akhir untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, namun rayuan tersebut ditolak oleh Mahkamah Rayuan kelmarin.

    Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, turut merayu kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan kelmarin agar menghentikan pelaksanaan hukuman mati tersebut.

    Masoud disabitkan kesalahan memiliki sekurang-kurangnya 31.14 gram diamorfin, atau heroin tulen, dengan tujuan mengedarnya. Di bawah undang-undang ketat dadah negara itu, hukuman mati dikenakan bagi jumlah melebihi 15 gram heroin.

    Pelaksanaan hukuman itu merupakan yang keempat dalam tempoh tiga minggu di Singapura. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda