Isnin, Julai 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura hentikan kerja pembinaan selepas insiden lubang benam

    SINGAPURA, 28 JULAI – Agensi Air Nasional Singapura (PUB) akan menghentikan sementara pembinaan bagi menilai semula dan memastikan keselamatan kerja-kerja pembinaan pembetungan di seluruh negara selepas kejadian lubang benam berhampiran satu daripada tapak projeknya pada Sabtu lepas.

    Menurut PUB, pemeriksaan mendapati caisson ring pada sebuah aci yang sedang dibina di tapak projek itu gagal berfungsi sekitar jam 5.50 petang pada 26 Julai.

    “Pada masa yang sama, lubang benam terbentuk di jalan bersebelahan. Punca kegagalan masih belum dikenal pasti. Lubang terbabit telah diisi liquefied stabilised soil bagi menstabilkan kawasan, sebelum kerja-kerja pemulihan dilaksanakan,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PUB pada malam kelmarin.

    Agensi itu memaklumkan bahawa lokasi kejadian terletak berhampiran tapak pembinaan aktif milik PUB di sepanjang Tanjong Katong Road South, yang sedang menjalani kerja-kerja pemasangan pembetung.

    Projek itu melibatkan pembinaan aci sedalam 16 meter bagi menyambungkan tiga saluran pembetung sedia ada. Aci itu ditimbus semula bagi menstabilkan tanah di sekelilingnya.

    “Imbasan radar dan analisis lanjut masih dijalankan bagi menilai keadaan di kawasan sekitar,” menurut agesi itu.

    PUB turut menegaskan bahawa jurutera daripada Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) telah menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan bahawa struktur berhampiran termasuk kediaman tidak terjejas akibat kejadian berkenaan.

    Dalam insiden itu, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam itu. Mangsa sempat keluar dari kenderaannya sebelum diselamatkan para pekerja di lokasi kejadian. – Bernama 

    Sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang benam di kawasan jalan Tanjung Katong di Singapura. Kerja pembinaan dihentikan sementara. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda