SINGAPURA, 26 JULAI – Singapura menjangkakan dapat memvaksinasi sekitar 80 peratus penduduknya dengan dua dos vaksin COVID-19 menjelang awal September, menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong.
“Kemudian baru kita boleh mengurangkan langkah sekatan, termasuk membenarkan perhimpunan lebih ramai, terutama mereka yang lengkap divaksin,” katanya di Parlimen.
Wong yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 berkata Singapura juga akan mula membuka sempadannya, terutama kepada mereka yang telah divaksin.
“Ia akan bermula dengan mewujudkan koridor perjalanan dengan negara atau wilayah yang telah mengendalikan COVID-19 dengan baik dan terkawal,” katanya.
Pada 24 Julai, Singapura telah memberikan sejumlah 7,130,781 dos vaksin COVID-19, dengan 3,020,766 individu lengkap dua dos. – Bernama