SINGAPURA, 29 APRIL – Perkhidmatan penghantaran dron pertama di Singapura telah dimulakan dengan membawa vitamin ke sebuah kapal, dengan operatornya mengatakan hari ini bahawa alat itu penting dalam usaha bagi mengurangkan kontak antara individu semasa wabak koronavirus.
Penggunaan dron merupakan sebahagian daripada usaha negara itu untuk menerapkan inovasi teknologi, serta upaya untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di negara yang memiliki penduduk sebanyak 5.7 juta.
Dron itu mampu membuat penghantaran barangan seberat 2 kilogram (4.4 paun) vitamin ke kapal milik Eastern Pacific Shipping, pelanggan berbayar pertama, kata F-drones, syarikat yang mengendalikan perkhidmatan itu.
Penghantaran pada 19 April itu berlangsung selama tujuh minit dan jaraknya lebih dari 2.7 kilometer (1.7 batu), katanya.
“Selain efisien, penghantaran melalui dron juga dapat mengurangi kontak antara individu yang tidak perlu di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19,” kata ketua eksekutif F-drones, Nicolas Ang.
Singapura hari ini mengesahkan tambahan 690 kes baharu jangkitan COVID-19, termasuk enam melibatkan kes dalam komuniti manakala jumlah terbesar daripada penghuni asrama pekerja. Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan sebarang maklumat terkini akan diumum kemudian hari ini. Angka terbaharu itu menjadikan jumlah bagi republik ini 15,641 kes. – AFP