SINGAPURA, 22 OGOS – Singapura memperkenalkan standard baharu bagi membimbing pengendali dan pengguna pusat data dalam penggunaan peralatan IT cekap tenaga, dengan sasaran mengurangkan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya 30 peratus.
Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) berkata standard “SS 715:2025: Kecekapan Tenaga Peralatan IT Pusat Data” itu membantu pengguna memilih peralatan IT yang menepati penanda aras kecekapan tenaga antarabangsa serta melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan tenaga.
“Standard ini turut menetapkan bahawa peralatan IT perlu berupaya beroperasi dengan selamat pada suhu sehingga 35 darjah Celsius. Pusat data yang mengguna pakai standard Pusat Data Tropika Singapura (SS697:2023) untuk beroperasi pada suhu lebih tinggi berpotensi mencapai penjimatan tenaga sistem penyejukan antara dua hingga lima peratus bagi setiap kenaikan 1 darjah Celsius,” menurut IMDA dalam kenyataan.
Di pusat data biasa, peralatan IT merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga dan dijangka meningkat dengan pertumbuhan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang melibatkan penggunaan tenaga komputer lebih intensif.
IMDA berkata pengguna akhir pusat data boleh memanfaatkan Geran Kecekapan Tenaga untuk sektor Pusat Data bagi menyokong naik taraf peralatan IT agar memenuhi tahap asas kecekapan tenaga yang ditetapkan dalam standard baharu itu. Geran tersebut membiayai sebahagian pembelian peralatan IT cekap tenaga yang telah diluluskan.
Timbalan Ketua Eksekutif IMDA, Aileen Chia berkata standard baharu ini adalah kesinambungan daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pusat Data Hijau dan piawaian Pusat Data Tropika, untuk mempercepatkan kemudahan dan kecekapan tenaga IT di pusat data.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan industri untuk memajukan pertumbuhan pusat data hijau yang mampan di Singapura,” katanya. – Bernama


