S’pura rampas 53,249 peket tembakau

SINGAPURA, 14 SEPT – Pihak berkuasa Singapura merampas 53,249 peket tembakau kunyah yang cuba diseludup masuk ke negara ini dalam lima lori tangki bernombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas, 7 September lepas.

Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA), sebanyak 26 bungkusan yang mengandungi tembakau kunyah itu dijumpai di dalam lima lori berkenaan.

“Tembakau kunyah yang dirampas itu diserahkan kepada HSA dan kesemua lima lelaki pemandu Malaysia ditahan oleh HSA untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kira-kira 6:45 pagi, pegawai ICA dan Kastam Singapura (SC) mengarahkan dua lori tangki bernombor pendaftaran Malaysia yang tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas untuk pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menjumpai bungkusan hitam yang mengandungi peket tembakau kunyah disembunyikan di dalam ruang enjin dan kabin tempat tidur pemandu lori terbabit. – Bernama