Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura sahkan 14,000 kes

    SINGAPURA, 27 APRIL – Singapura hari ini mengesahkan sejumlah 799 kes baru jangkitan COVID-19, dengan majoriti besar kes melibatkan pekerja asing yang menghuni asrama pekerja.

    Dengan pertambahan terkini itu, jumlah keseluruhan kes di republik itu kini 14,423.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menjelaskan hanya 14 kes melibatkan warganegara Singapura atau Penduduk Tetap. Kementerian itu kini masih mendapatkan butiran lengkap mengenai kes-kes berkenaan dan akan memberikan maklumat yang dikemaskini, lewat hari ini.

    Daripada jumlah 13,624 kes pada Ahad, Singapura mengklasifikasikan 11,419 sebagai kes penghuni asrama pekerja atau 3.5 peratus daripada sejumlah 323,000 pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

    Sehingga tengah hari Ahad, Singapura merekodkan 931 kes jangkitan COVID-19 baru, di mana 95 peratus melibatkan penghuni asrama pekerja, manakala 25 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama. Dilaporkan terdapat dua kes import dan 18 kes lagi melibatkan komuniti.

    Kakitangan kesihatan memakai pakaian perlindungan peribadi mengambil sampel swab hidung daripada pekerja asing bagi ujian COVID-19 di sebuah asrama pekerja di Singapura, 27 April. – AFP

    Dalam kenyataan penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, MOH menyatakan ia mencatatkan lebih banyak kes, selepas menjalankan saringan yang lebih menyeluruh.

    “Kebanyakan kes ini yang bergejala ringan dan dipantau dalam pusat isolasi komuniti atau di wad biasa di hospital. Tiada dalam kalangan mereka berada di unit rawatan rapi,” katanya.

    MOH menyatakan daripada 913 kes baru semalam, 74 peratus berkaitan dengan kluster yang dikenal pasti, manakala selebihnya masih menunggu keputusan pengesanan kontak. Minggu lepas (19-25 April) Kementerian itu berkata, mereka telah menemui kaitan kepada 1,280 kes yang sebelum ini tidak diketahui kaitannya.

    Sementara itu sejumlah 1,060 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang daripada hospital atau pusat isolasi komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, manakala 12 kematian dicatatkan.

    Singapura telah mengenal pasti empat kluster baru pada Ahad, iaitu Proptech Pte Ltd; Kian Teck Crescent (5); Sungai Kadut Street (3); dan Tuas View Square (133).

    Kluster terbesar di negara itu S11 Dormitory @ Punggol, sehingga kini mencatatkan 2,275 kes yang disahkan.

    Daripada jumlah keseluruhan kes pada Ahad, Singapura mengklasifikasikan 1,153 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 481 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda