SINGAPURA, 13 MAC – Singapura akan mengenakan sekatan kemasukan ke atas semua pelawat yang mempunyai sejarah melawat Itali, Perancis, Sepanyol dan Jerman dalam tempoh 14 hari lepas.
Pelawat yang berkenaan tidak akan dibenarkan masuk atau transit menerusi Singapura mulai 15 Mac, 2020, pukul 2359.
Perintah sekatan sempadan itu diumumkan hari ini oleh Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian republik itu mengenai COVID-19 sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga bagi melambatkan penularan virus COVID-19 di republik ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas itu, sehingga Khamis hampir 25 peratus semua kes COVID-19 di Singapura adalah diimport.
Sehingga semalam, jumlah yang dilaporkan ialah 187 kes positif di pulau ini. – Bernama