SINGAPURA, 19 MAC – Singapura menyuarakan kebimbangan terhadap berulangnya pertempuran di Gaza yang mengakibatkan kematian dalam kalangan orang awam, sambil menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi mencapai gencatan senjata yang berkekalan.
“Semua orang awam mesti dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Semua tawanan juga perlu dibebaskan serta-merta,” kata jurucakap Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap itu turut menekankan bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak seharusnya disekat.
Sementara itu, Perdana Menteri Lawrence Wong dalam satu hantaran di platform X kelmarin menegaskan bahawa Singapura komited untuk membantu memenuhi keperluan mendesak Gaza.
Beliau berkata selain bantuan kemanusiaan, Singapura juga menyediakan program pembangunan kapasiti bagi menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka mentadbir negara sendiri di masa hadapan.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin terbunuh manakala 562 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Gaza pada Selasa lalu sekali gus menamatkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu. – Bernama
