Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura wajibkan tetapkan umur pengguna aplikasi

    SINGAPURA, 16 JAN – Singapura perkenalkan undang-undang baharu yang memerlukan khidmat pengedaran aplikasi khas untuk tetapkan umur demi meningkatkan keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak, Penguasa Pembangunan Media Infocomm (IMDA) mengumumkan kelmarin.

    Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian untuk Khidmat Pengedaran Aplikasi yang akan berkuat kuasa pada 31 Mac, mewajibkan sistem atau proses untuk menentukan umur atau lingkungan umur pengguna.

    Langkah ini melibatkan beberapa teknologi untuk menganggar umur pengguna seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin atau algoritma analisis pada umur muka atau kaedah pengesahan umur yang bergantung pada sumber yang disahkan seperti ID digital atau kad kredit.

    IMDA berkata bahawa undang-undang berkenaan akan memberi ‘impak yang ketara’ terhadap platform seperti Apple App Store, Google Play Store, Galeri Aplikasi Huawei, Microsoft Store dan Samsung Galaxy Store yang mana mereka mesti memutuskan langkah yang sesuai dan menyerahkan pelan pelaksanaan terperinci.

    “Singapura adalah negara terawal dalam mewajibkan langkah jaminan umur untuk khidmat pengedaran aplikasi, termasuk menyekat kanak-kanak daripada mengakses dan memuat turun aplikasi yang tidak sesuai dengan umur berdasarkan penilaian umur,” kata IMDA dalam kenyataannya.

    Langkah berikut adalah susulan daripada pengenalan kod serupa pada Julai 2023, yang memerlukan aplikasi media sosial untuk meminimumkan pendedahan kandungan berbahaya serta menyediakan laporan yang berkesan dan mesra pengguna.

    Platform seperti Facebook, HardwareZone, Instagram, TikTok, X dan YouTube telah ditetapkan di bawah kod tersebut kerana “jangkauan atau impak yang ketara” mereka.

     Khidmat pengedaran aplikasi digambarkan sebagai, “pintu masuk utama untuk mengakses aplikasi pada peranti digital kami” dan “pasaran untuk kandungan dalam talian, termasuk permainan dalam talian” dalam kenyataan itu, kata pengawal selia kerajaan.

    Dengan meningkatnya bilangan pengguna termasuk kanak-kanak mengakses platform ini untuk memuat turun aplikasi, terdapat risiko pendedahan yang lebih tinggi kepada kandungan berbahaya dan tidak sesuai dengan umur mereka, tambah IMDA.  – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda