Spurs cuba selamatkan misi

LONDON, 21 OKT – Permulaan menyedihkan Tottenham musim ini menunjukkan sedikit tanda-tanda pemulihan tetapi sebelum lawatan Red Star Belgrade esok, Spurs sedikit tenang kerana berada dalam kedudukan Liga Juara-Juara yang lebih baik berbanding 12 bulan yang lalu.

Kekalahan kepada Inter Milan dan Barcelona musim lalu menyaksikan mereka bertandang ke PSV Eindhoven untuk apa yang pengurus Mauricio Pochettino sifatkan sebagai perlawanan ‘harus menang’.

Selepas seri 2-2 di Belanda, Pochettino mengakui kempen Liga Juara-Juara itu ‘hampir berakhir’, bagaimanapun, lapan bulan kemudian, jurulatih dari Argentina itu berjaya mengetuai Tottenham ke final sulung Liga Juara-juara.

Kekecewaan selepas tewas kepada Liverpool pada final di Madrid sudah berlalu walau menyakitkan. Spurs telah memenangi hanya tiga daripada 12 aksi pembukaan dalam semua pertandingan musim ini.

Kemungkinan untuk menjulang trofi pertama di bawah Pochettino dalam Piala Liga sudah berakhir selepas tewas kepada pasukan peringkat keempat Colchester dan lima mata dari empat tempat teratas Liga Perdana.

Bagaimanapun, Pochettino mengakui bahawa kekalahan pa-ling buruk muncul dalam Liga Juara-Juara ketika tewas 7-2 kepada Bayern Munich.

“Selepas Bayern Munich, keyakinan kami begitu rendah,” kata Pochettino selepas seri 1-1 kepada kelab tercorot Liga Perdana, Watford, Sabtu lalu. – AFP

Pochettino semasa menghadiri sesi latihan Enfield, utara London, kelmarin. – AFP