Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spurs ikat Solanke

    LONDON, 11 OGOS – Tottenham memperkukuh pilihan serangan mereka untuk musim baharu Liga Perdana dengan menandatangani pemain penyerang, Dominic Solanke, dari Bournemouth kelmarin dalam perjanjian mencecah £65 juta (AS$83 juta).

    Pemain berusia 26 tahun itu telah menandatangani kontrak selama enam tahun dan akan menelan kos permulaan £55 juta dengan tambahan £10 juta.

    Solanke, yang memulakan kariernya di Chelsea dan juga mempunyai tempoh singkat di Liverpool, tiba di Bournemouth pada 2019 dan menikmati musim terbaiknya pada 2023/24 dalam Liga Perdana dengan menjaringkan 19 gol.

    “Ia adalah kelab yang hebat, kelab besar di mana impiannya adalah serupa dengan saya, jadi saya gembira untuk memulakan dan bertemu dengan semua pemain,” kata Solanke kepada Spurs TV.

    “Apa yang paling menggembirakan saya tentang kelab ini adalah cita-cita tinggi kelab itu. Pengurus yang hebat, pemain yang hebat dan saya rasa (Spurs) pasti akan sesuai dengan gaya permainan saya juga, jadi saya tidak sabar untuk memulakan dan melakukan tugas saya di padang.”

    Jika Tottenham membayar yuran penuh, Solanke bakal menjadi pemain rekod mereka.

    Spurs terpaksa mengharungi ujian untuk menandatangani pemain penyerang 12 bulan lalu apabila Harry Kane berlepas ke Bayern Munich.

    Solanke kini menjadi harapan dan pembakar semangat bagi anak buah Ange Postecoglou untuk kembali ke Liga Juara-juara selepas mereka menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana musim lalu. – AFP

    Gambar fail bertarikh 2 April 2024 menunjukkan reaksi Solanke semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Bournemouth dan Crystal Palace, di Stadium Vitality di Bournemouth, England. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda