HIGH WYCOMBE, 26 JAN – Tottenham berjaya meraih kemenangan di minit-minit akhir perlawanan untuk menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Wycombe 4-1 menerusi tiga jaringan gol pada empat minit terakhir untuk mara ke pusingan kelima Piala FA semalam.
Jose Mourinho tidak menurunkan Harry Kane, Son Heung-min dan Tanguy Ndombele berikutan jadual padat skuadnya yang bakal berdepan empat kejohanan akan datang.
Tetapi tiga jaringan pada separuh masa kedua itu diperlukan untuk mengatasi Wycombe yang hanya menang tiga kali dalam 23 perlawanan musim ini di Liga Kejuaraan.
“Prestasi mereka sangat bagus. Pemain yang saya bawa daripada bangku simpanan masuk dengan harapan membawa sesuatu kepada pasukan, jadi keseluruhannya saya fikir ia prestasi berpasukan yang baik dan keputusan bagus,“ kata Mourinho kepada BT Sport.
Gareth Bale yang jarang diturunkan pada musim keduanya di Spurs terlepas tiga peluang terbaik bagi meletakkan Spurs di depan.

Sebaliknya, Tottenham terpaksa bergelut untuk bangkit selepas Fred Onyedinma memberikan gol pendahulu buat pasukan tuan rumah menerusi jaringan jarak dekat pada minit ke-25.
Percubaan Japhet Tanganga dan Moussa Sissoko terkena palang sehinggalah Bale menebus kesilapan nya selepas terlepas beberapa peluang awal dengan menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Tottenham akan menerima kunjungan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Jumaat ini tetapi Mourinho dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan 13 tahun kelab terpaksa memasukkan Kane, Son dan Ndombele selepas rehat.
Dalam 30 minit terakhir jelas menjadi milik Spurs yang memecah kebuntuan menerusi rembatan cantik oleh Harry Winks sejurus selepas percubaan Kane diselamatkan oleh Ryan Allsop.
Ndombele menjadikan kedudukan 3-1 selepas berjaya menjaringkan gol menerusi hantaran Son Heung-min dan kemudiannya melengkapkan kemenangan dengan rembatan jarak dekat pada minit akhir perlawanan.
Pemain Perancis itu menunjukkan gerakan kaki yang menakjubkan untuk melepasi pertahanan Wycombe.
“Dia sangat kreatif. Dia adalah salah satu pemain yang dapat memecahkan kebuntuan,” tambah Mourinho mengenai Ndombele yang beharga 60 juta euro (AS$73 juta). “Selain itu, jika dia dapat menjaringkan gol untuk kami, itu lebih baik lagi.”
Spurs akan berdepan Everton dalam saingan 16 terakhir bulan depan. – AFP