PARIS, 1 OKT – Harry Kane menjaringkan gol hatrik selepas diturunkan ke dalam perlawanan untuk meraih kemenangan 5-1 bagi Tottenham Hotspur menentang juara Slovenia, Mura dalam perlawanan kumpulan Liga Persidangan Europa kelmarin.
Gol penalti daripada Delle Alli dan gol Giovani Lo Celso membantu Spurs menguasai perlawanan dalam 8 minit perlawanan di London utara, tetapi tendangan voli Ziga Kous membantu Mura untuk mengejar Spurs dalam separuh masa kedua.
Pengurus Tottenham, Nuno Espiritio Santo menurunkan Kane, Son Heung-min dan Lucas Moura dalam 30 minit terakhir, pertukaran tiga pemain ini membantu kelab Liga Perdana Inggeris tersebut untuk meraih kemenangan yang diperlukan. Lucas memberikan hantaran kepada Kane untuk menjaringkan dalam minit ke-68, dan pemain depan England itu menjaringkan gol kedua melalui hantaran tinggi daripada Son.
Kane, yang belum menjaringkan gol dalam liga pada musim ini, berjaya memperoleh gol ketiganya dalam minit terakhir selepas menerima hantaran daripada Lo Celso.
“Kami membuat perlawanan itu sukar bagi Mura,” beritahu Kane kepada BT Sport. “Saya merasa gembira dapat beraksi dan berhasil menjaringkan beberapa goal.”
Dengan kekalahan tiga kali berturut-turut dalam liga telah memberikan tekanan kepada Nuno, yang telah dilantik sebagai pengurus kelab terbaik Liga Perdana Inggeris bagi bulan Ogos selepas membantu Spurs untuk menang pertama kali dalam tiga perlawanan pertamanya. Spurs akan menghadapi satu ujian baharu apabila bertembung dengan Aston Villa pada hujung minggu ini, namun kemenangan tersebut merupakan penyuntik semangat bagi Spurs dan menempatkan Spurs ke tangga teratas dalam kumpulan G dengan empat mata.
“Kami sebagai pemain dan juga kakitangan perlu bekerjasama dan bekerja keras. Sebelum ini prestasi pasukan kami tidak berapa bagus tetapi kami akan berusaha untuk mengubah nasib kami dalam perlawanan seterusnya,” kata Kane.
“Setiap pemain depan ingin menjaringkan gol. Saya tidak menjangka diturunkan tetapi saya bersyukur dapat bermain walaupun hanya beberapa minit. Tambahan lagi jika menyaksikan bola berada di dalam gawang lawan.” Spurs mendahului Rennes dengan perbezaan gol selepas pasukan tersebut menewaskan Vitesse Arnhem 2-1 di Belanda. – AFP
