BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Seramai 275 orang murid Sekolah Rendah (SR) Delima Satu, Kluster 3 telah ikut serta dalam acara sukan ria yang berlangsung di dewan dan dalam kawasan sekolah berkenaan.
Acara tersebut dirasmikan oleh Guru Besar SR Delima Satu, Kluster 3, Hajah Samziah binti Haji Sabtu yang juga selaku penasihat bagi acara sukan ria 2018.
Acara sukan ria tersebut dimulakan dengan senaman yang dikendalikan oleh guru-guru sekolah dan seterusnya pembukaan rasmi bagi acara murid-murid pra.
Murid-murid yang terdiri daripada pra hingga Tahun 6 telah ikut serta dalam acara-acara yang disediakan oleh unit kokurikulum sekolah seperti mengutip gula-gula, meniup belon hingga pecah, mengikat tali getah dan mengisi air ke dalam botol.
Sementara itu, guru-guru sekolah berkenaan turut terlibat dalam acara permainan berhalangan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan lalu diteruskan lagi dengan majlis penyampaian hadiah bagi 162 peserta yang telah menang dan ikut serta dalam acara-acara yang ditandingkan.
Acara tahunan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara murid-murid, guru-guru dan kakitangan sekolah. Selain daripada menumpukan pencapaian akademik, Sekolah Rendah Delima Satu juga mempromosikan hidup budaya sihat dan semangat kesukanan melalui aktiviti kokurikulum sekolah.
