Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR Jerudong sambut Hari Buku Sedunia

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dalam usaha menanamkan dan memupuk budaya minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah, Sekolah Rendah Jerudong, hari ini, telah melancarkan Hari Buku Sedunia (WBD) yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

    Pelancarannya disempurnakan oleh Penolong Pengarah Ketua Unit Sumber Sekolah di Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Zakaria bin Haji Duraman yang seterusnya menyampaikan hadiah galakan kepada para pelajar yang menyertai persembahan di majlis itu.

    Antara lain tujuan majlis itu adalah untuk membudayakan minat membaca dalam kalangan masyarakat dunia globalisasi amnya di samping menggalakkan warga sekolah dan ibu bapa untuk menyumbang buku-buku baru dan terpakai bagi menambah koleksi bahan bacaan yang sedia ada.

    Penolong Guru Besar Sekolah Rendah Jerudong, Dayang Masni binti Mohamad Nor selaku Pengerusi WBD di majlis itu menjelaskan mengenai beberapa aktiviti yang telah dirancang bagi memeriahkan WBD, yang antaranya seperti persembahan gabungan bacaan yang menggabungkan pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6, jualan buku terbitan tempatan, aktiviti membaca dalam bilik darjah masing-masing dan pakaian mengikut karakter bagi semua warga sekolah.

    Katanya lagi, memupuk budaya minat membaca di kalangan murid-murid bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dan bagi pihak sekolah, usaha dan kerja keras dalam kalangan guru-guru sudah dilaksanakan bagi memastikan masa terluang murid diisi dengan aktiviti berfaedah seperti aktiviti membaca buku.

    Haji Zakaria semasa melancarkan Hari Buku Sedunia di Sekolah Rendah Jerudong.
    Antara pelajar sekolah yang mengenakan pakaian mengikut karakter dalam buku turut memeriahkan acara WBD.

    “Selain itu, perpustakaan sekolah juga memberi peluang kepada murid-murid untuk meminjam buku yang sesuai untuk dibawa pulang ke rumah untuk dibaca,” tambahnya.

    Beliau seterusnya menekankan, keadaan perpustakaan sekolah yang kondusif, bersih dan teratur juga sangat perlu supaya murid-murid dapat membaca dalam keadaan yang tenang dan santai sambil diawasi dan dibimbing oleh guru dan pembantu perpustakaan yang bertugas.

    “Pemilihan jenis buku yang sesuai, kelicinan proses peminjaman dan pemulangan buku juga diharap dapat dibuat secara konsisten dan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian supaya setiap murid di sekolah berpeluang meminjam sebuah buku setiap minggu.

    “Dengan cara ini, secara tidak langsung akan dapat membantu memperbaiki mutu bacaan murid yang rendah tahap literasinya,” jelas Dayang Masni lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda