Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Jigsaw berjaya meraih 440 mata untuk merangkul tempat kedua dalam Kategori Campuran Kejohanan Boling 10 Pin Institusi Swasta ke-2 yang diadakan di Utama Bowling di ibu negara, Ahad lalu.
Selain selesai sebagai naib juara, SR Jigsaw juga memenangi pingat emas untuk jatuhan pin terbanyak dan skor individu terbaik (172 mata).
Tetamu kehormat pertandingan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Ketua Bahagian Pendidikan Swasta, Dayang Marina Cek binti Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah Swasta (JAPSS), Awang Bahrein bin Haji Abu Bakar
Kejohanan anjuran Seksyen Pendidikan Swasta itu menyaksikan penyertaan 37 buah sekolah dan institusi swasta bersaing dalam kategori lelaki, wanita dan campuran.
Pertandingan ini terbukti banyak membantu membina hubungan antara semua sekolah swasta selain mewujudkan perpaduan dan semangat kerja berpasukan.
Sehubungan dengan itu, SR Jigsaw berharap dapat mengambil bahagian dalam acara kokurikulum yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan pada masa depan demi memajukan sukan negara.
