Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR Katok ‘B’ juara Futsal

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Sekolah Rendah (SR) Katok ‘B’ muncul juara dalam Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Kluster 1 ‘B’ bagi tahun 2018 dengan menewaskan SR Pusar Ulak menerusi penentuan sepakan penalti di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan futsal berkenaan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang ialah Penghulu Mukim Gadong B, Mejar (B) Haji Bakar bin Haji Safar.

    SR Pusar Ulak terpaksa akur berada di tempat kedua selepas tewas 4-3 dalam penentuan penalti itu, manakala tampil di tempat ketiga bagi kejohanan tersebut ialah pasukan dari SR Katok ‘A’.

    Pada perlawanan peringkat akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 di separuh masa pertama. Namun di separuh masa kedua perlawanan semakin menarik apabila SR Pusar Ulak memecahkan kebuntuan menerusi sepakan percuma.

    Namun SR Katok ‘B’ berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti yang dihadiahkan selepas seorang pemain SR Pusar Ulak menggunakan tangan untuk menepis bola di dalam petak penalti.

    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang berjaya menduduki tempat tiga teratas bagi kejohanan futsal berkenaan.

    Perlawanan kekal seri 1-1 hingga wisel akhir dan persaingan itu diheret ke penentuan sepakan penalti.

    Kejohanan itu merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan telah dikendalikan bersama SR Katok ‘B’ Kluster 1 selaku tuan rumah bagi kejohanan pada kali ini.

    Sebanyak 12 buah sekolah telah menyertai kejohanan pada kali ini, antaranya ialah SR Katok ‘B’, SR Katok ‘A’, SR Beribi Telanai, SR Pintu Malim, SR Kampung Mata-Mata, SR Pusar Ulak, SR Tungku, SR Seri Mulia Sarjana dan SR Alif Tungku.

    Antara objektif penganjuran kejohanan ini adalah bagi memenuhi keperluan murid untuk melakukan riadah dan bersukan, selain untuk menggilap bakat istimewa yang terdapat pada setiap murid khususnya dalam sukan futsal.

    Ia juga sebagai usaha bagi memupuk semangat bekerjasama dan melahirkan murid yang sentiasa berdaya saing dalam arena sukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda