Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Dalam usaha meningkatkan kesedaran kepada murid-murid akan kepentingan membaca buku, Bahagian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan kerjasama Bahagian Perpustakaan Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah (SR RIF), Kluster 2 telah mengadakan majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 peringkat sekolah kelmarin.
Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 dengan bertemakan Travel Around The World By Reading itu diharap akan dapat memberi peluang kepada murid-murid meneroka dunia melalui membaca buku. Selain itu, murid-murid di sekolah berkenaan akan dapat menikmati setiap saat dan menyelami keseronokan membaca seterusnya mengukuhkan kecintaan terhadap buku.
Guru Besar SR RIF, Josephine Tan Yen Nee dalam ucapannya antara lain menggariskan, buku bukan sekadar halaman dengan perkataan, tetapi buku juga adalah tingkap kepada dunia yang berbeza dan kunci kepada pengetahuan yang tidak berkesudahan.
“Hari ini kita berkumpul untuk mengiktiraf nilai membaca dan menggalakkan semua orang untuk mengembangkan cinta sepanjang hayat terhadap buku,” jelasnya.
Hari Buku Sedunia sambutan sekolah berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti yang antaranya adalah mewarna bendera kebangsaan, jejak buku perpustakaan dan juga acara utama adalah Pertandingan Spelling Bee anjuran guru Bahasa Inggeris dan pameran buku dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan Syarikat GSabtu.


Sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan kesemua murid-murid dari Pra hingga Tahun 6 serta guru-guru sekolah berkenaan tampil dengan pakaian dengan tema ‘Pakaian Antarabangsa’.


