Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Sekolah Rendah (SR) Sungai Kebun merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Kluster 2, 2017 selepas mudah menundukkan SR Orang Kaya Setia Bakti (OKSB) Kilanas dengan jaringan 4-0 pada perlawanan akhir hari ini.
Sementara SR Mabohai pula meraih pingat gangsa dalam kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan menggunakan kawasan kluster berkenaan setelah menang tipis 1-0 ke atas SR Saba Darat pada perlawanan penentuan tempat ketiga. Ketua pasukan SR Sungai Kebun, Awang Mohd Hazmi Isamuddin bin Haji Mohd Eddy, yang meledakkan jaringan pada setiap perlawanan pasukannya dari peringkat awal sehingga final pula telah diumumkan selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik.
Hadir ke padang dan balapan, SR Mabohai bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan hari ini dan seterusnya menyempurnakan pingat dan penyampaian piala kepada para pemenang ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SR Mabohai, Haji Kamri bin Haji Akop.

Kejohanan yang tahun ini dikendalikan oleh SR Mabohai itu merupakan aktiviti tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan. Sebanyak 18 buah pasukan mewakili sekolah-sekolah rendah dalam Kawasan Kluster 2 telah menyertainya.
Hadir sama menyaksikan perlawanan penentuan tempat ketiga dan final berkenaan ialah Guru Besar SR Mabohai, Salinawati binti Mohd Zainal selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kejohanan berkenaan dan pegawai dari Unit Jasmani, JPKK, Kementerian Pendidikan, Awang Zaimuddin bin Haji Bakar.