Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Dalam usaha meningkatkan minat murid terhadap pelajaran Bahasa Melayu seterusnya melahirkan pelajar berpengetahuan dan berkeyakinan, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) melalui Unit Bahasa Melayu mengadakan Bulan Bahasa Melayu, hari ini.
Bulan Bahasa Melayu yang berlangsung di Dewan SR YSHHB itu dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi.
Bulan bahasa ini adalah sebagai usaha tambahan bagi melahirkan murid cemerlang melalui pelbagai aktiviti yang boleh membantu keyakinan pelajar dengan rakan sebaya mereka.
Pada tahun ini, Unit Bahasa Melayu mengadakan bulan bahasa dengan kolaborasi mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam untuk mendedahkan murid-murid sekolah berkenan mengenai Bahasa Melayu melalui aktiviti yang sediakan.

Acara dua hari itu membolehkan pelajar Tahun 1 hingga 5 menyertai aktiviti pembelajaran yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori komunikasi dan mendengar, kategori menulis dan kreativiti serta kategori membaca dan memori.
Dengan adanya Bulan Bahasa Melayu ini, ia dapat menimbulkan minat pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dan dapat bertutur dengan baik seterusnya mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Turut hadir pada Bulan Bahasa Melayu itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi, Pengetua Sekolah Menengah YSHHB, Dayang Chong Li Chen dan Pengetua TASKA YSHHB, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab.