Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 dengan mengadakan majlis sambutan yang dihadiri oleh para pelajar Tahun 1 hingga 6 sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir pada acara tersebut ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah dan cucunda-cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah iaitu Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah dan Pengiran Anak ‘Alisha Husnara Jaida Bulqiah.
Turut hadir ialah Pemangku Pengetua SR YSHHB, Awang Abdul Samat bin Banin serta guru-guru sekolah berkenaan.
Majlis diisikan dengan laungan ikrar Hari Kebangsaan yang dipimpin oleh pelajar Tahun 6, Zayyan Aaryan bin Noorhadzrin diikuti dengan nyanyian lagu patriotik.
Selain itu, majlis sambutan turut diserikan dengan formasi angka 36 oleh pelajar sekolah berkenaan diikuti dengan persembahan Alun Genderang oleh 30 pelajar.
Antara tujuan majlis adalah untuk memupuk kesedaran pelajar untuk cintakan negara dan raja.



