Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sramkova kejutkan juara Wimbledon

    LONDON, 11 JUN – Persediaan Barbora Krejcikova untuk mempertahankan kejuaraan Wimbledonnya terjejas apabila pemain Czech itu mengalami kekalahan mengejut menentang Rebecca Sramkova di Queen’s Club kelmarin.

    Krejcikova menewaskan Jasmine Paolini dari Itali dalam tiga set pada final Wimbledon tahun lalu untuk memenangi kejuaraan Grand Slam keduanya.

    Tetapi harapan pemain berusia 29 tahun itu untuk mengulangi kejayaan itu punah dengan kekalahannya 6-4, 6-3 kepada Sramkova dari Slovakia pada pusingan pembukaan acara pemanas badan Wimbledon di London.

    Kekalahan itu melanjutkan kekecewaan Krejcikova sejak kemenangannya di Kelab All England.

    Dia tewas pada pusingan kedua Terbuka Perancis baru-baru ini dan terlepas Terbuka Australia Januari lalu akibat kecederaan belakang yang menyebabkan dia diketepikan sehingga Mei.

    Krejcikova, pemain nombor 17 dunia, turut tewas dalam pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Grand Slam terakhir 2024.

    Pemain nombor 41 dunia, Sramkova akan menentang bekas juara Terbuka AS, Emma Raducanu, pada pusingan kedua di Queen’s.

    Raducanu, yang terkenal dengan kemenangan di New York sebagai pemain kelayakan berusia 18 tahun pada 2021, membuat permulaan yang rancak pada musim perseorangan gelanggang rumput, menewaskan Cristina Bucsa dari Sepanyol 6-1, 6-2 kelmarin.

    Bintang Britain itu berkata sebelum Queen’s dia masih mengalami masalah kecederaan pada bahagian belakang bagi kebanyakan kempen 2025 yang mengecewakan. – AFP

    Gambar bertarikh 26 Mei 2025 menunjukkan Sramkova mengembalikan bola kepada Iga Swiatek semasa kejohanan tenis Terbuka Perancis di Gelanggang Philippe-Chatrier di Kompleks Roland-Garros di Paris. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda