Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka catat deflasi pertama dalam tempoh 39 tahun

    COLOMBO, 30 SEPT – Ekonomi Sri Lanka yang kekurangan tunai mencatatkan penurunan harga pengguna buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun, data rasmi menunjukkan hari ini, dengan angka inflasi bulan ini menurun kepada negatif 0.5 peratus.

    Data Jabatan Banci dan Perangkaan menunjukkan penurunan harga dalam kedua-dua barangan makanan dan bukan makanan menyumbang kepada deflasi bulan ini, berbanding inflasi sebanyak 0.5 peratus pada Ogos.

    Sri Lanka kali terakhir mencatatkan deflasi pada Oktober 1985 dengan angka negatif 2.1 peratus.

    Inflasi memuncak pada 69.8 peratus dua tahun lalu pada kemuncak krisis ekonomi yang belum pernah berlaku di negara pulau itu.

    Kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk menyebabkan protes selama berbulan-bulan di mana akhirnya memaksa presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, meninggalkan negara tersebut buat sementara waktu dan meletak jawatan pada Julai 2022.

    Penggantinya, Ranil Wickremesinghe, memperoleh jaminan AS$2.9 bilion Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan menaikkan cukai serta harga untuk menstabilkan ekonomi.

    Wickremesinghe kehilangan jawatan selepas pilihan raya presiden awal bulan ini.

    Pemenang pilihan raya itu, Presiden Anura Kumara Dissanayake, telah berikrar untuk mengekalkan program IMF tetapi melonggarkan beberapa langkah penjimatan yang dikenakannya. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda