COLOMBO, 17 SEPT — Sri Lanka akan mengharamkan empat spesies ikan peliharaan pemangsa termasuk Piranha yang dilaporkan terlepas ke dalam sungai dan tasik hingga memusnahkan spesies tempatan serta mengancam ekosistem air tawar, kata Menteri Perikanan, Ramalingam Chandrasekar, hari ini.
“Kami mahu melindungi sumber air darat daripada spesies invasif,” katanya sambil menegaskan langkah itu juga bagi menjaga kelangsungan hidup nelayan tempatan.
Mulai Sabtu ini, import, penjualan dan pengangkutan empat spesies berkenaan — Redline Snakehead, Knife Fish, Alligator Gar dan Piranha — yang diimport dari Asia Tenggara akan dilarang, menurut kenyataan kementerian.
Spesies Snakehead, yang boleh membesar melebihi satu meter, dikesan membiak dengan cepat di sebuah tasik di barat laut negara itu, sekali gus mengancam spesies asli.
Pegawai percaya ikan itu dilepaskan ke Tasik Deduru Oya oleh pemilik yang tidak lagi mampu memeliharanya.
Bagi mengawal populasi, kementerian turut menganjurkan pertandingan memancing Snakehead pada Sabtu sempena pelaksanaan larangan tersebut.
Rakyat Sri Lanka lazimnya tidak menjadikan Snakehead sebagai makanan kerana sifatnya sebagai pemangsa rakus yang memakan ikan kecil serta amfibia, sekali gus mengganggu keseimbangan ekologi.
Pemilik haiwan peliharaan yang masih memelihara empat spesies berkenaan diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk diserahkan dan ditempatkan di akuarium kerajaan. – AFP


