Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka jalankan banci terhadap hidupan liar

    SRI LANKA, 16 MAC – Sri Lanka menjalankan banci di seluruh negara itu kelmarin ke atas hidupan liar, termasuk monyet dan burung merak, dalam usaha menyediakan tindak balas bagi melindungi tanaman, kata pegawai.

    Kira-kira 40,000 pegawai tempatan dikerahkan untuk mengira babi hutan, kukang, burung merak dan monyet berhampiran ladang dan rumah dalam tempoh lima minit kelmarin.

    Di daerah utara-tengah Anuradhapura, keluarga petani berkumpul di ladang terbuka untuk mengira haiwan dan merekodkannya dalam kertas yang disediakan oleh kementerian pertanian.

    “Kami mengadakan banci dalam tempoh masa yang sangat singkat untuk memastikan tiada pengiraan berganda,” kata pegawai kementerian, Ajith Pushpakumara, kepada pemberita di ibu negara Colombo.

    “Kami menjangkakan bahawa keputusan akan menjadi kira-kira 80 peratus tepat. Selepas kami mempunyai idea tentang bilangan haiwan ini, kami boleh merancang langkah seterusnya untuk menangani mereka,” tambahnya.

    Di Anuradhapura, 200 kilometer di utara Colombo, penduduk keluar awal ke ladang bersiap sedia untuk membuat bancian.

    “Kami berjaya mempunyai kiraan hasil daripada peserta yang sangat bersemangat. Mereka merupakan petani yang terus mengalami kerosakan tanaman. Kiraan kami ialah 227 monyet toque dan 65 langur,” kata seorang birokrat jabatan pertanian, Chaminda Dissanayake, yang menjalankan bancian di kawasan Mihintale Anuradhapura kepada AFP.

    Penggubal undang-undang pembangkang, Nalin Bandara mengkritik bancian itu, menyebutnya sebagai membazir wang. – AFP

    Gambar menunjukkan beberapa ekor monyet di luar kuil Mihintale di kampung Mihintale, di Anuradhapura pada 14 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda