Friday, February 28, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka janji tangani konflik manusia-gajah

    COLOMBO, 27 FEB – Sri Lanka berjanji hari ini untuk menangani segera konflik antara penduduk kampung dan gajah liar selepas melaporkan kematian hampir 1,200 orang dan lebih 3,500 haiwan itu dalam 10 tahun.

    Menteri Alam Sekitar, Dammika Patabendi, berkata kepada Parlimen bahawa mereka akan membina lebih banyak pagar elektrik dan menempatkan kakitangan tambahan untuk membantu mengurangkan serangan gajah di kampung berhampiran perlindungan hidupan liar.

    “Kami memperuntukkan lebih banyak wang untuk mengurangkan konflik antara manusia dan gajah, serta berharap dalam tempoh yang singkat kami akan dapat mengurangkan isu tersebut,” kata Patabendi.

    Antara 2015 dan 2024, 1,195 orang dan 3,484 gajah liar dibunuh, katanya.

    Pada Januari tahun ini, tiga orang dan 43 gajah lagi terbunuh.

    Pembangkang penggubal undang-undang, Nalin Bandara berkata, jumlah korban itu mengejutkan dan menggesa pihak berkuasa melindungi orang ramai, di samping memastikan haiwan liar itu tidak dicederakan.

    Beliau menyatakan bahawa melupuskan bangkai gajah liar telah menelan belanja negara kira-kira AS$11.6 juta dalam tempoh 10 tahun, manakala pampasan kepada mangsa serangan gajah adalah kira-kira AS$4 juta dalam tempoh yang sama.

    Membunuh atau mencederakan gajah merupakan satu kesalahan jenayah di Sri Lanka, yang mempunyai anggaran 7,000 gajah liar, dianggap sebagai khazanah negara itu, sebahagiannya disebabkan oleh kepentingannya dalam budaya Buddha. – AFP

    Gambar bertarikh 21 November 2017 menunjukkan seekor gajah Sri Lanka berada di sepanjang jalan di Colombo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda