COLOMBO, 26 APRIL – Presiden Sri Lanka menggesa penggubal undang-undang untuk meluluskan program empat tahun Kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mengurangkan hutang negara kepada AS$17 bilion menerusi penstrukturan semula.
Parlimen memulakan debat selama tiga hari pada hari ini bagi cadangan Presiden Ranil Wickremesinghe untuk menerima program IMF. Ia akan disusuli dengan pengundian.
Sekiranya diluluskan, rancangan itu akan menentukan bagaimana ekonomi negara itu akan diuruskan dalam masa beberapa tahun akan datang.
Majoriti penggubal undang-undang dijangka akan menerima program penyelamat IMF. Di bawah rancangan itu, pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa akan menyediakan hampir AS$3 bilion secara berperingkat.
Sri Lanka tahun lalu mengumumkan bahawa ia telah menggantungkan pembayaran semula pinjaman luarnya kerana krisis kewangan asing yang teruk disebabkan oleh kesan pandemik COVID dan usaha oleh bank pusat untuk menstabilkan mata wang rupee Sri Lanka dengan menggunakan rizab asing.
Wickremesinghe berkata pada masa dia mengambil alih jawatan presiden pada Julai tahun lalu, jumlah keseluruhan hutang negara, termasuk pinjaman domestik dan luar, berjumlah kira-kira AS$83.6 bilion.
Beliau berkata rundingan bagi penstrukturan semula hutang asing Sri Lanka akan diadakan bersama negara jiran India dan Paris Club, kumpulan negara pemberi pinjaman utama dalam satu platform, berasingan dengan China.
Selain itu, Sri Lanka juga perlu menstrukturkan semula hutang domestiknya. Wickremesinghe berkata kerajaan akan melindungi bank-bank tempatan dan dana simpanan pekerja yang dipinjamnya jika perlu.
Ekonomi negara itu menunjukkan pemulihan sejak Wickremesinghe mengambil alih jawatan presiden. Segala kekurangan berjaya dihapuskan, pemotongan bekalan tenaga telah dihentikan dan rupee Sri Lanka kembali kukuh.- AP
