COLOMBO, 10 MEI – Sri Lanka hari ini mengerahkan ribuan askar dan polis untuk melaksanakan perintah berkurung selepas lima orang terbunuh dalam keganasan terburuk dalam bantahan berminggu-minggu mengenai krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku.
Hampir 200 orang turut mengalami kecederaan kelmarin ketika perdana menteri, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan, tetapi masih tidak mampu meredakan kemarahan awam.
Dia terpaksa diselamatkan dalam operasi sebelum subuh oleh anggota tentera selepas ribuan pembantah antikerajaan menyerbu kediaman rasminya di Colombo semalam, dengan polis melepaskan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan amaran untuk memaksa orang ramai berundur.
“Selepas operasi sebelum subuh, bekas perdana menteri dan keluarganya telah dipindahkan dengan selamat oleh anggota tentera,” kata pegawai keselamatan tertinggi kepada AFP. “Sekurang-kurangnya 10 bom petrol dilontar ke kawasan perkarangan.”
Kekuasaan suku Rajapaksa semakin goyah selepas bekalan elektrik terputus selama berbulan-bulan di Sri Lanka, krisis ekonomi terburuk sejak negara itu meraih kemerdekaan pada 1948.
Selepas berminggu-minggu banta-han aman antikerajaan, keganasan tercetus kelmarin apabila penyokong Mahinda Rajapaksa menyerang pembantah dengan bersenjatakan kayu dan belantan.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk meleraikan orang ramai dan mengumumkan segera perintah berkurung di Colombo, langkah tersebut kemudian diperluaskan ke seluruh negara.
Pihak berkuasa berkata perintah berkurung akan ditarik semula pada pagi Rabu, dengan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, serta kedai-kedai dan sekolah-sekolah masih diarah tutup hari ini. – AFP