Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka masih diancam keganasan

    COLOMBO, 7 Mei – Pihak berkuasa Sri Lanka telah menahan atau membunuh semua pejuang jihad yang bertanggungjawab terhadap pengeboman berani mati pada Easter, namun pulau itu masih menghadapi ancaman ‘keganasan global’, kata perdana menteri hari ini.

    Ranil Wickremesinghe memberitahu parlimen bahawa negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha itu menjadi mangsa pelampau Islam dan memerlukan bantuan antarabangsa untuk mengatasi ancaman berlarutan itu.

    “Ancaman masih belum berakhir, kami merupakan mangsa keganasan global sekarang,” kata Wickremesinghe.

    “Walaupun jika kami telah menangkap atau membunuh setiap pengganas yang bertanggungjawab terhadap serangan Easter Sunday, pelampau di luar negara masih boleh menimbulkan masalah kepada kami.

    “Kami memerlukan perkongsian risikan dengan rakan asing untuk mengatasi cabaran ini.”

    Komen beliau keluar tatkala ketua polis Chandana Wickramaratne berkata mereka telah menghitung setiap individu yang terbabit dalam serangan pada 21 April yang membunuh 257 orang di tiga buah gereja dan tiga hotel mewah.

    “Semua mereka yang menganjur dan melancarkan serangan bom berani mati telah terbunuh atau dalam tahanan kami,” kata Wickramaratme.

    “Dua pakar bom dalam kumpulan itu telah terbunuh. Kami telah merampas bahan letupan yang disimpan oleh mereka untuk serangan pada masa akan datang.”

    Wickramaratne, yang dinamakan pemangku ketua polis pada minggu lalu selepas Presiden Maithripala Sirisena memecat pemimpin sebelumnya disebabkan kegagalan beliau untuk bertindak berdasarkan amaran mengenai serangan itu, berkata kehidupan orang awam sudah beransur kembali seperti biasa. – AFP

    Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena (tengah) dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe (kiri) tiba untuk upacara peringatan sempena ulang tahun ke-26 pembunuhan bekas presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa di Colombo pada 1 Mei 2019. Wickremesinghe memberitahu parlimen bahawa negara menjadi mangsa pelampau Islam dan memerlukan bantuan antarabangsa. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda