COLOMBO, 7 MEI – Kerajaan berhaluan kiri Sri Lanka memenangi pilihan raya majlis tempatan namun dengan majoriti yang jauh lebih kecil, menurut keputusan rasmi hari ini, dalam ujian pertamanya sejak kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Gabungan pimpinan Presiden Anura Kumara Dissanayake memperoleh undi terbanyak di 265 daripada 339 majlis, namun gagal meraih majoriti mutlak di kira-kira separuh daripadanya.
Parti pembangkang utama, SJB, hanya memenangi 14 majlis, manakala parti minoriti Tamil utama negara itu, Perikatan Nasional Tamil, mencatat keputusan lebih baik dengan kemenangan di 35 majlis.
Parti bekas presiden Ranil Wickremesinghe dan Mahinda Rajapaksa tidak memenangi sebarang majlis, namun secara gabungan memperoleh 1,123 daripada 8,299 kerusi majlis.
Parti kiri NPP memerlukan sokongan parti lain untuk menguasai kira-kira 130 majlis di mana ia tidak memperoleh majoriti mutlak, namun menolak sebarang kerjasama dengan parti-parti tradisional.
Peratusan undi NPP merosot kepada 43.3 peratus, berbanding 61.6 peratus yang diperoleh dalam pilihan raya parlimen pada November lalu.
Sementara itu, SJB mencatat peningkatan kecil dengan memperoleh 21.7 peratus undi, naik daripada 17.7 peratus sebelum ini.
Dissanayake, yang mengejutkan parti-parti lama dengan kemenangannya dalam pilihan raya presiden pada September, memanfaatkan popularitinya untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya parlimen dua bulan kemudian.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, pemimpin berusia 56 tahun itu membuat pusingan-U daripada janjinya untuk merunding semula syarat-syarat bantuan IMF yang kurang digemari yang dipersetujui pendahulunya, dan mengekalkan tarif yang tinggi. – AFP
