Sri Lanka pelawa pelaburan dalam tiga sektor

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Sri Lanka telah mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur dalam sektor teknologi maklumat (IT), pembinaan dan pertanian negara itu, kerana tiga sektor tersebut menyediakan faedah bebas cukai.

“Sri Lanka adalah gerbang ke India dengan penduduk berjumlah 1.4 bilion dan (kami berharap untuk) menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke negara-negara lain di Asia,” kata Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Kapilla Jayampathy kepada wartawan pada program the Trade Talk bertema ‘Strengthening Trade Partnerships and Investment Opportunities’, di sini hari ini.

Acara anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan Dewan Perniagaan Malaysia-Sri Lanka itu bertujuan meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara. Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara, Kapilla berkata ketika ini FTA itu sedang dalam proses perundingan dan Sri Lanka berharap ia dapat dimeterai pada masa terdekat ini.

Sri Lanka kini mempunyai FTA dengan India, Pakistan dan Singapura, ia sedang dalam perundingan perjanjian perdagangan dengan Malaysia dan China. Malaysia merupakan sumber import keenam terbesar ke Sri Lanka bernilai AS$642 juta (AS$1 = RM4.21) dan menduduki tempat ke-36 dari segi pasaran eksport Sri Lanka bernilai AS$42 juta.

Eksport utama Sri Lanka adalah produk sayur-sayuran, barangan getah, tekstil dan pakaiandan produk makanan, sementara import dari Malaysia termasuk bahan bakar, sayur-sayuran, jentera dan elektronik, dan produk kayu. – Bernama