Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka perketat aliran mata wang asing

    COLOMBO, 4 JULAI – Bank pusat Sri Lanka hari ini memperketat aliran keluar mata wang asing untuk memerangi krisis mata wang yang me ningkat dicetuskan oleh pandemik koronavirus.

    Simpanan tukaran asing telah berkurangan hampir separuh sejak akhir 2019 kepada AS$4 bilion selepas rupee merosot kepada rekod rendah tahun lalu.

    Ekonomi negara telah terjejas teruk oleh penularan virus dan sekatan dalam kemelesetan paling teruk sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1948.

    Bank Pusat Sri Lanka berkata pelaburan luar negara oleh firma tempatan akan digantung selama enam bulan.

    Jumlah modal yang boleh dibawa keluar dari negara oleh syarikat dan rakyat juga akan dihadkan, tambahnya.

    Sri Lanka telah pun mengharamkan import barangan dan kereta mewah sejak tahun lalu untuk mengawal aliran keluar mata wang asing.

    Kerajaan merancang melanjutkan pengharaman import kepada telefon bimbit, komputer dan barangan pengguna elektronik, lapor media tempatan baru-baru ini.

    Bank pusat berkata dalam satu kenyataan bahawa sekatan bertujuan ‘membantu dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan.’

    Agensi pemeringkatan antarabangsa telah meluahkan kebimbangan berhubung keupayaan Sri Lanka untuk melangsaikan hutang luar negara yang banyak.

    Namun gabenor bank pusat W.D. Lakshman berkata negara akan memenuhi kewajipan hutangnya, yang berjumlah AS$3.6 bilion dalam tempoh enam bulan akan datang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda