COLOMBO, 4 FEB – Sri Lanka meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-77 hari ini dengan perarakan tentera, manakala presiden negara yang baru dipilih, Anura Kumara Dissanayake, berjanji untuk memulihkan masalah ekonomi Sri Lanka pada akhir penggal lima tahun.
Sri Lanka, yang mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1948, mengalami krisis ekonomi terburuk pada 2022, memaksa negara kepulauan itu mengisytiharkan muflis. Ia juga menggantung pembayaran balik pinjaman domestik dan asing berjumlah AS$83 bilion berikutan krisis pertukaran asing yang mencetuskan kekurangan makanan, ubat, bahan api dan gas masak serta pemotongan jana kuasa selama berjam-jam.
Krisis ekonomi menyebabkan pergolakan politik dan akhirnya membuka jalan kepada parti Dissanayake untuk memenangi kuasa empat bulan lalu.
Dissanayake berkata hari ini beliau akan meningkatkan taraf hidup semua rakyat Sri Lanka sepanjang tempoh pemerintahannya di samping memberi mereka peluang untuk menikmati inovasi sains dan teknologi moden. Berucap pada majlis di ibu negara, Colombo, beliau menggesa rakyat Sri Lanka untuk bekerjasama untuk meraih kebebasan ekonomi, sosial dan budaya.
Di bawah kepimpinan Dissanayake, Sri Lanka cuba bangkit daripada kemuflisan dengan menstrukturkan semula hutangnya. – AP