COLOMBO, 23 JUN – Usaha untuk memerangi dadah di Sri Lanka telah membawa kepada rampasan lebih daripada tiga tan atau 6,600 paun dadah haram dengan nilai pasaran jalanan mencecah AS$76 juta setakat tahun ini, menurut seorang pegawai hari ini.
Menteri Keselamatan Awam, Ananda Wijepala berkata, kebanyakan dadah haram itu berasal dari Afghanistan dan Pakistan dan diseludup masuk ke pulau tersebut melalui laut.
Beliau berkata terdapat kira-kira 400,000 penagih di negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu.
Manakala, Ketua Polis, Priyantha Weerasooriya berkata dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran jalanan sebanyak 23 bilion rupee.
Jumlah itu hampir menyamai dengan nilai rampasan sepanjang tahun 2024 iaitu sebanyak 28 bilion rupee.

Lebih 1,000 individu telah ditangkap atas kesalahan menjual dan menyeludup dadah, tambahnya.
Antara yang ditahan termasuk seorang wanita warga Thailand berusia 38 tahun yang ditangkap di lapangan terbang Colombo pada 30 Mei lalu kerana membawa hampir 10 kilogram kokain.
Penahanan tersebut merupakan rampasan terbesar yang pernah dikesan di pintu masuk ke negara Asia Selatan itu.
Turut ditahan bulan lalu ialah tiga individu lain dari Britain, India dan Thailand kerana cuba menyeludup hampir 60 kilogram ganja sintetik.
Keempat-empat suspek, termasuk wanita Thailand yang ditahan dengan kokain, berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Pihak berkuasa Sri Lanka sebelum ini turut merampas sejumlah besar heroin di perairan negara itu dan perkara itu menunjukkan pulau tersebut mungkin digunakan sebagai hab transit untuk penghantaran dadah ke lokasi lain. – AFP