Sri Lanka rangsang industri pelancongan

COLOMBO, 23 SEPT – Pihak berkuasa Sri Lanka hari ini mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan penstriman langsung dari taman hidupan liar di negara pulau itu, langkah bagi membantu memulihkan industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik koronavirus.

Biro Promosi Pelancongan kerajaan berkata penstriman langsung pada mulanya akan meliputi empat taman nasional untuk menunjukkan hidupan liar eksotik negara selatan Asia itu, termasuk beruang, gajah, buaya dan burung.

Projek akan menawarkan lapan sesi penstriman video selama sejam setiap satu yang akan ditunjukkan melalui platform media sosial dan dikongsikan kepada penyiaran media, menurut kenyataan biro. Pelancongan di Sri Lanka – yang telah dinobatkan sebagai destinasi pelancongan terbaik dunia pada 2019 oleh Lonely Planet – telah terjejas teruk akibat koronavirus, dengan pihak berkuasa teragak-agak menangguhkan pembukaan semula negara tersebut kepada pelancong asing.

Kerajaan merancang untuk membuka semula pelancongan pada 1 Ogos, tetapi membatalkan rancangan apabila kluster baharu pesakit COVID-19 dikesan pada Julai.

Pelancongan sangat penting buat Sri Lanka, yang mencatatkan kira-kira lima peratus dari KDNK mereka dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 250,000 orang secara langsung dan sehingga dua juta orang secara tidak langsung.

Beberapa ribu orang pekerja hotel telah diberhentikan sejak pandemik bermula. Pegawai kesihatan Sri Lanka berkata mereka telah menghalang penularan virus kepada komuniti dan kini pesakit dilaporkan berkait dengan dua kluster yang diketahui. Sri Lanka mencatatkan 3,315 kes, termasuk 13 kematian. – AP

Pihak berkuasa Sri Lanka mengumumkan mereka akan menawarkan penstriman langsung dari taman hidupan liar di negara pulau itu sebagai langkah untuk membantu memulihkan industri pelancongan negara.- AP