Sunday, April 2, 2023
24.6 C
Brunei

-

Sri Lanka rayu diaspora hantar wang tunai

COLOMBO, 13 APRIL – Sri Lanka menggesa rakyatnya yang berada di luar negara untuk menghantar wang ke negara itu bagi membantu membayar harga makanan dan minyak yang sangat diperlukan selepas hutang asingnya dicatatkan berjumlah AS$51 bilion.

Negara kepulauan itu berada dalam cengkaman krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948, menghadapi kekurangan barang keperluan akut dan bekalan elektrik terputus menyebabkan kesukaran yang teruk.

Pihak berkuasa berhadapan kemarahan orang ramai dan protes menuntut peletakan jawatan kerajaan menjelang rundingan untuk bantuan menyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Gabenor Bank Pusat, Nandalal Weerasinghe, berkata beliau memerlukan rakyat Sri Lanka di luar negara untuk “menyokong negara pada masa penting ini dengan menderma melalui pertukaran wang asing yang amat diperlukan”.

Rayuan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan penangguhan pembayaran balik semua hutang luar negara, yang kini digunakan bagi menambah bekalan petroleum, farmaseutikal dan keperluan lain yang semakin berkurangan.

Keluarga Sri Lanka berdiri di luar khemah mereka di tapak para pembantah berkhemah di Colombo, Sri Lanka, pada 13 April. – AP

Weerasinghe berkata, beliau menyediakan akaun bank untuk derma di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman serta berjanji wang itu akan dibelanjakan di tempat yang paling diperlukan.

Bank itu “memastikan bahawa pemindahan mata wang asing itu akan digunakan hanya untuk mengimport barang keperluan, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan”, kata Weerasinghe dalam satu kenyataan.

Pengumuman semalam itu akan menjimatkan kira-kira AS$200 juta pembayaran faedah Sri Lanka yang tertunggak, katanya, wang itu juga akan dialihkan untuk membayar import penting.

Rayuan Weerasinghe setakat ini disambut dengan keraguan daripada warga Sri Lanka di luar negara.

“Kami tidak kisah untuk membantu, tetapi kami tidak boleh mempercayai kerajaan dengan wang tunai kami,” kata seorang doktor Sri Lanka di Australia kepada AFP, meminta namanya dirahsiakan. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -