COLOMBO, 12 JUN – Sri Lanka merekodkan lebih tujuh juta ekor monyet dalam satu bancian haiwan liar yang merosakkan tanaman, kata pihak berkuasa hari ini, selepas seorang menteri kerajaan menyifatkan angka itu sebagai ‘tidak masuk akal’.
Ketua Eksekutif Institut Penyelidikan dan Latihan Pertanian (ARTI), A. L., Sandika berkata, data akhir yang diperoleh adalah selari dengan tinjauan sebelumnya ‘beberapa tahun lalu’, namun tidak memberikan perincian lanjut.
Timbalan Menteri Alam Sekitar, Anton Jayakodi, minggu lalu turut mengumumkan bancian yang dijalankan pada 15 Mac yang pertama seumpamanya mengemukakan data yang ‘tidak dapat dipercayai’ dan memerlukan pengesahan.
Pihak berkuasa berpendapat kemungkinan sesetengah petani yang marah telah membesar-besarkan angka berkenaan bagi menggambarkan masalah itu sebagai lebih serius di negara tersebut.
Penduduk di seluruh pulau tersebut telah diminta untuk mengira jumlah khinzir hutan, burung merak, monyet dan loris iaitu sejenis primat kecil yang kebanyakannya aktif pada waktu malam dan sering kelihatan muncul berhampiran ladang dan rumah.
Langkah itu bertujuan bagi merangka pelan tindakan kebangsaan bagi menangani haiwan liar yang mengganggu.
Ahli parlimen pembangkang, Nalin Bandara, menyifatkan bancian itu sebagai ‘satu kegagalan sepenuhnya, pembaziran wang’. – AFP
