COLOMBO, 26 FEB – Kumpulan pertama kenderaan yang diimport untuk kegunaan persendirian tiba di Pelabuhan Colombo kelmarin, susulan keputusan kerajaan untuk menamatkan penggantungan import kenderaan selama lima tahun akibat kekurangan rizab asing, lapor Xinhua.
Presiden Persatuan Pengimport Kenderaan Sri Lanka Prasad Manage berkata kepada media di Colombo hari ini bahawa penghantaran pertama tiba dari Thailand, manakala satu lagi penghantaran dari Jepun dijadualkan tiba di Pelabuhan Antarabangsa Hambantota esok.
Kerajaan Sri Lanka secara rasmi menarik balik larangan sementara terhadap import kenderaan, yang dikuatkuasakan sejak awal 2020, pada 31 Januari 2025.
Antara sebab utama penggantungan itu ditamatkan adalah bagi meningkatkan hasil negara dan mencapai sasaran cukai sebanyak 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), seperti yang ditetapkan dalam perjanjian penyelamatan Sri Lanka dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam ucapan pembentangan belanjawan di parlimen baru-baru ini, Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake berkata liberalisasi import kenderaan dijangka menyumbang sebahagian besar kepada peningkatan hasil kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa import kenderaan akan dipantau rapi bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap kestabilan sektor luaran negara. – Bernama
