COLOMBO, 24 FEB – Setiausaha Kementerian Pertahanan Sri Lanka, Sampath Thuyacontha, pada hari ini mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan penahanan segera semua anggota tentera yang melarikan diri, lapor Xinhua.
Bercakap pada sidang akhbar di Colombo, Thuyacontha berkata arahan itu telah dikeluarkan beberapa hari lalu dan operasi berkenaan akan diketuai polis tentera dengan sokongan agensi lain.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap anggota tentera yang masih berkhidmat sekiranya mereka terlibat dalam aktiviti jenayah.
Menurut Thuyacontha, terdapat laporan yang mengaitkan anggota tentera yang melarikan diri dengan beberapa jenayah baru-baru ini, dan mereka yang meninggalkan perkhidmatan sebelum tamat tempoh perkhidmatan penuh mereka, kemungkinan besar untuk terlibat dalam jenayah terancang. – Bernama
