COLOMBO, 17 NOV – Sri Lanka sedang menyiasat dakwaan terhadap dua ekor gajah yang dihadiahkan oleh Thailand yang diperlakukan dengan kejam di tempat tinggal haiwan tersebut di kuil Buddha, menurut Menteri Alam Sekitar, hari ini.
Dammika Patabendi berkata, Bangkok telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesejahteraan kedua-dua haiwan yang diberikan kepada Sri Lanka pada 1980 dan 2001 sebagai simbol hubungan erat antara kedua-dua negara Buddha tersebut.
Aktivis hak haiwan di Sri Lanka berkata, pihak berkuasa Thailand telah menghubungi mereka untuk bertanya mengenai keadaan hidup gajah-gajah yang diserahkan kerajaan Sri Lanka kepada kuil-kuil tersebut.
“Thailand mahu membawa pulang kedua-dua gajah itu,” kata Rally for Animal Rights and Environment yang berpangkalan di Colombo kepada AFP.
Gajah dianggap sebagai harta negara di Sri Lanka dan dihormati sebagai simbol Buddha, tetapi terdapat laporan mengenai kekejaman oleh pemilik persendirian dan sami.
Pihak berkuasa memulangkan seekor gajah Thailand berusia 29 tahun, yang dikenali sebagai Muthu Raja, selepas terdapat laporan haiwan tersebut yang diabaikan dan diseksa di sebuah kuil Buddha pada 2023.
Muthu Raja, yang dikenali di Thailand sebagai Sak Surin telah dihadiahkan kepada Sri Lanka pada 2001.
Manakala, pada September, sebuah mahkamah di Sri Lanka turut menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun kepada seorang penjaga gajah persendirian kerana menyeludup haiwan yang dilindungi itu. – AFP


