Thursday, December 26, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka, Thailand meterai perjanjian perdagangan

    COLOMBO, SRI LANKA, 4 FEB – Sri Lanka yang dibelenggu hutang menandatangani perjanjian perdagangan dengan Thailand semalam dalam usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan ketika negara kepulauan lautan India itu sedang bergelut untuk pulih daripada krisis ekonomi terburuknya yang melanda dua tahun lalu.

    Perjanjian Perdagangan Bebas Thailand Sri Lanka yang meliputi perdagangan barangan, pelaburan, prosedur kastam dan hak harta intelek dimeterai di ibu negara Colombo dengan kehadiran Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

    Sri Lanka memulakan perbincangan dengan Thailand mengenai perjanjian perdagangan bebas pada 2016.

    Perdagangan dua hala negara itu bernilai kira-kira AS$352 juta pada 2022, dengan eksport Thailand pada AS$292 juta dan eksport Sri Lanka pada AS$58 juta, menurut data kerajaan Sri Lanka.

    Eksport Sri Lanka termasuk terutamanya batu berharga, pakaian, teh dan rempah-ratus manakala eksport dari Thailand termasuk kepingan getah salai, getah asli, plastik dan simen.

    Kerajaan Sri Lanka menjangkakan pakatan perdagangan itu akan meningkatkan perdagangan dua hala sehingga AS$1.5 bilion.

    Thavisin berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menggalakkan pelaburan dalam bidang seperti perikanan, pemprosesan makanan, pelancongan dan tenaga hijau.

    Thailand telah mencatat lebih daripada AS$92 juta dalam pelaburan langsung di Sri Lanka dari 2005 hingga 2022.

    Menambah rangsangan kepada pelancongan, Thavisin berkata syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways akan menyambung semula penerbangan harian dari Bangkok ke Sri Lanka pada bulan depan. – AP

    Gambar serahan Pejabat Presiden Sri Lanka menunjukkan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe (dua kanan) bersama Perdana Menteri Thai, Srettha Thavisin di Secretariat Presiden di Colombo, Sri Lanka pada 3 Februari. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda