Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Sri Lanka umum kuota minyak

    COLOMBO, 12 JUN – Sri Lanka yang dilanda krisis hari ini mengumumkan kuota minyak mingguan bagi pemandu, ketika negara itu mengalami kekurangan bekalan yang semakin teruk dan kenderaan beratur panjang di luar beberapa buah stesen minyak yang masih beroperasi.

    Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera berkata Ceylon Petroleum Corporation yang ditadbir oleh negara bergelut untuk membeli minyak import, sementara penggunaan meningkat disebabkan oleh kekurangan elektrik dan gas petroleum cecair.

    “Kami tidak mempunyai pilihan melainkan menyenaraikan pengguna di stesen minyak dan memberikan kuota mingguan sehingga kami dapat mengukuhkan semula kewangan,” kata menteri tenaga.

    “Saya berharap untuk melaksanakan sistem ini pada minggu pertama bulan Julai.”

    Dia tidak menyatakan berapa ramai pemandu akan dibenarkan untuk membeli minyak di bawah sistem baharu tersebut.

    Sri Lanka bergelut dengan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh berdekad-dekad, dengan negara itu tidak mampu untuk mengimport keperluan asas seperti makanan, minyak dan ubat-ubatan disebabkan oleh kekurangan rizab pertukaran asing.

    Pada pertengahan April, kerajaan Sri Lanka mengarahkan kesemua stesen minyak untuk tidak menjual lebih daripada empat liter minyak petrol bagi pengguna, lima liter bagi kenderaan tiga roda dan 19.5 liter gasolin atau diesel untuk kereta dan SUV.

    Di bawah sistem itu, kebanyakan pengguna akan terpaksa menambah nilai, mengisi minyak di dalam bekas dan kemudian kembali beratur jika ingin mendapatkan bekalan.

    Minggu ini, barisan di stesen minyak bertambah panjang, dengan ratusan kereta dan ribuan motosikal menunggu dalam barisan, kadang kala selama beberapa hari. – AFP

    Anggota tentera mengawal sebuah stesen minyak yang tutup di Colombo 12 Jun. Sri Lanka mengumumkan kuota minyak mingguan bagi pemandu.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...