KUANTAN, 1 OKT – Skuad Sri Pahang FC nyaris kecundang di tangan Kuching City FC di laman sendiri malam tadi pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur selepas mengulangi kecuaian sama semasa berdepan KL FC, sebelum ini.
Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad juga mengakui kawalan longgar oleh pemainnya mengundang bahaya kepada skuad Tok Gajah sehingga Kuching City memperoleh sepakan percuma yang membolehkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-15.
“Kita menurunkan tempo permainan selepas menjaringkan gol pertama yang diperoleh secara penalti dan masalah timbul apabila Kuching City mendapat sepakan percuma.
“Para pemain kita tidak mengawal pemain lawan dengan baik sehingga melepaskan mereka menjaringkan gol penyamaan dan perkara sama juga berlaku semasa menentang KL City sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Sri Pahang mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuching City untuk meraih tiga mata berharga. – Bernama