KUANTAN, 12 SEPT – Keadaan padang yang becak dan menentang pasukan lawan yang berpengalaman menyebabkan pasukan tuan rumah Sri Pahang FC terpaksa akur dan tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 0-2, pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Ketua Jurulatih Interim Sri Pahang FC Datuk Dollah Salleh juga menyifatkan, kekalahan pasukannya juga disebabkan kurang momentum pemain, selepas tiga minggu tanpa bermain sebarang perlawanan.
“Pemain kita agak sukar sesuaikan diri bermain di atas padang becak, apatah lagi bertemu pasukan yang beraksi di peringkat tertinggi seperti KL City FC yang beraksi di Piala Konfederasi Bolasepak Asia, menyebabkan segalanya seperti tidak menjadi,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu pemain muda KL City Haqimi Azim Rosli membuka jaringan gol pada minit ke-30, sebelum Zhafri Yahya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.
Berdasarkan prestasi Tok Gajah malam tadi, Dollah mengakui beliau perlu segera mencari ramuan untuk membangkitkan kembali rentak kemenangan anak buahnya, terutama ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri. – Bernama