Populariti merentas zaman, miliki portfolio cemerlang dalam kerjaya seni dan kekal relevan meskipun ramai bakat baharu tumbuh bagai cendawan selepas hujan membuatkan nama Rita Rudaini masih mekar dan menjadi pilihan menghiasi layar kaca.
Menyorot semula perjalanan bintang yang cukup gemilang ketika era 1990an, aktres Rita Rudaini antara selebriti yang bukan sahaja hebat dari segi lakonan, malah wajah kerap menghiasi sampul depan majalah hiburan dan akhbar.
Ternyata aura dimiliki aktres sensasi itu masih belum pudar apabila terpilih berada dalam kelompok Top 20 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 yang diumumkan, baru-baru ini.
Berkongsi keterujaan apabila namanya dicalonkan, Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, mengakui jenama ABPBH bukan sahaja ampuh, bahkan dipercayai dalam memberi pengiktirafan kepada penggiat seni.
“Alhamdulillah atas pencalonan ABPBH 36. Sejujurnya, saya teruja sebab kali pertama tercalon bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.
“Tidak hanya itu, saya turut tersenarai bersama pelakon lama yang saya hormati.
“Difahamkan, ABPBH 36 ini bukan sahaja meletakkan 100 peratus undian kepada peminat, tapi membabitkan juri profesional. Jadi, inilah kelebihan ABPBH,” katanya kepada BH Online.
Meskipun timbul perdebatan antara bakat atau kontroversi yang menjadi lebih diutamakan dalam menentukan populariti, namun bagi pelakon filem Mami Jarum Junior itu yakin penganjur membuat pertimbangan wajar dalam memilih calon awal.
“Saya percaya, pencalonan ini tidak sekadar populariti, tapi apa yang lebih besar adalah bakat dan hasil karya yang ada pada artis turut diambil kira.
“Jadi, ia nampak seimbang. Pada masa sama, saya yakin peminat industri hiburan sudah bijak dalam membuat pilihan.
“Biarpun ada artis kegemaran, tapi apa yang menjadi pertimbangan dalam soal undian tentu sahaja bakat,” katanya. – Agensi