LOS ANGELES, 25 Feb – Jaguh Thailand, Srisaket Sor Rungvisai mempertahankan gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) dengan menewaskan pesaing, Juan Estrada hari ini, bertahan hingga pusingan terakhir untuk mendapatkan keputusan majoriti.
Srisaket mengumpulkan pendahuluan besar dengan memenangi hampir kesemua tujuh pusingan pertama dalam pertarungan 12 pusingan itu bagi merebut gelaran super flyweight di Los Angeles Forum.
Tetapi petinju berusia 31 tahun itu gagal menghasilkan ‘knockout’ yang diharapkannya ke atas pesaingnya dari Mexico itu, bahkan kelihatan keletihan dalam dua pusingan terakhir.
“Estrada adalah seorang petinju yang sangat gagah,” kata Srisaket dalam gelanggang selepas mendapat keputusan.
“Saya menyukai gayanya. Ia adalah pertarungan yang sangat sukar.”
Srisaket, yang memperbaiki kedudukannya 45-4-1 dengan 40 ‘knockout’, menang dengan mata 117-111 daripada seorang juri.
Seorang juri lagi memberikannya kemenangan 115-113 dan juri dari Las Vegas, Dave Moretti memberikan keputusan seri, 114-114.
Namun, kemenangan itu sudah cukup bagus untuk membuktikan statusnya sebaga bintang sebenar dalam divisyen super flyweight, terutamanya selepas menewaskan bekas juara, Roman ‘Chocolatito’ Gonzalez sebanyak dua kali pada tahun 2017.
Kedua-dua petinju itu menghasilkan pertarungan yang sungguh menarik di sepanjang 12 pusingan, terutamanya di akhir pusingan pertama dan kelima. – AFP