JAKARTA, 28 FEB – Gergasi tekstil Indonesia, PT Sri Rejeki Isman (Sritex) akan menutup operasi secara kekal pada 1 Mac 2025 selepas Mahkamah Agung negara itu mengekalkan keputusan muflis, mengakibatkan 10,665 pekerja diberhentikan.
Media tempatan melaporkan bahawa proses pemberhentian pekerja bermula sejak Januari, melibatkan pekerja PT Bitratex Semarang, diikuti gelombang kedua pada Februari yang menjejaskan kakitangan di PT Sritex Sukoharjo, PT Primayuda Boyolali, PT Sinar Panja Jaya Semarang dan PT Bitratex Semarang.
Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer Gerungan memberi jaminan bahawa kerajaan sedang berusaha melindungi hak pekerja yang terjejas dengan menyelaraskan pengurusan Sritex bagi memastikan pembayaran pampasan dan perlindungan insurans kehilangan pekerjaan.
Sementara itu, pekerja Sritex secara rasmi diberhentikan pada 26 Februari dengan hari terakhir bekerja pada 28 Februari, menurut Ketua Pejabat Perindustrian dan Tenaga Kerja Sukoharjo, Sumarno.
“Pembayaran pampasan akan dikendalikan oleh kurator yang dilantik, manakala faedah pencen berada di bawah BPJS Ketenagakerjaan (Agensi Keselamatan Sosial Pekerjaan),” katanya. – Bernama
