Berdiam isu kemanusiaan sejagat namun tiba-tiba memberi ucap selamat kepada anak bilionair, tindakan Shah Rukh Khan (SRK) mengguris hati peminat dan dituduh dibayar untuk berbuat demikian.
Memetik laporan Kosmo Online, pelakon Bollywood terkenal, SRK dikecam hebat selepas membuat hantaran ucapan selamat ulang tahun perkahwinan (anniversary) buat anak bilionair terkenal India iaitu Anant dan Randhika Ambani.
Warganet berkata, ucapan tersebut dibuat kerana pelakon yang terkenal dengan gelaran King of Khan itu dibayar oleh keluarga jutawan itu.
“Memalukan! Nampak sangat dia dibayar untuk membuat hantaran ini. Tak sangka artis tersohor seperti anda sanggup melakukan perkara ini,” komen warganet dalam Instagram.
Warganet juga turut mempersoalkan tindakan pelakon filem Dilwale itu yang membisu saat negara mereka dilanda konflik peperangan.
“Kenapa sebelum ini anda membisu tentang perang India-Pakistan. Anda juga membisu tentang isu Palestin,” komen warganet.
Perkahwinan Anant dan Randhika mendapat perhatian seluruh dunia kerana menjadi perkahwinan termahal dalam sejarah yang menelan belanja hampir RM2.5 bilion (AS$600 juta).
Tetamu yang diundang juga turut dibayar untuk menghadiri majlis tersebut termasuklah Kim Kardashian. – Agensi
