Pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan menyewa dua apartmen dupleks mewah di Mumbai dengan harga 8.7 crore (sekitar AS$87 juta) selama tiga tahun.
Shah Rukh Khan telah menyewa dua unit dupleks mewah daripada penerbit filem India, Vashu Bhagnani dan keluarganya di kawasan Pali Hill, Mumbai.
Menurut dokumen pendaftaran hartanah yang diperoleh daripada Zapkey.com, Shah Rukh Khan telah mengambil sewa dua apartmen dupleks di kawasan Pali Hill di Khar, Mumbai, dengan harga 8.67 crore untuk tempoh tiga tahun.
Dokumen menunjukkan bahawa kedua-dua dupleks tersebut terletak di sebuah bangunan bernama Puja Casa dan berada di tingkat pertama, kedua, ketujuh, dan kelapan, menurut laporan Hindustan Times.
Dupleks pertama disewa daripada pelakon Jacky Bhagnani dan kakaknya, Deepshikha Deshmukh, dengan kadar sewa bulanan 11.54 lakh (kira-kira AS$862,000) serta deposit keselamatan sebanyak 32.97 lakh untuk tempoh 36 bulan, menurut dokumen.
Penerbit filem Vashu Bhagnani telah menyewakan dupleks kedua kepada Shah Rukh Khan dengan harga 12.61 lakh sebulan serta deposit keselamatan sebanyak 36 lakh untuk tempoh tiga tahun, menurut dokumen tersebut. Dokumen juga menunjukkan bahawa kedua-dua transaksi ini telah didaftarkan pada 14 Februari lalu, dengan bayaran duti setem sebanyak 2.22 lakh dan yuran pendaftaran sebanyak 2,000.
Sementara itu, dari segi kerjaya profesional, Shah Rukh Khan kali terakhir muncul dalam filem Dunki pada tahun 2023, yang diarahkan oleh Rajkumar Hirani dan telah mencetuskan banyak perhatian. Namun, peminat kini tidak sabar menantikan projek terbarunya.
SRK dijadualkan membintangi filem King, arahan Sujoy Ghosh, di mana beliau akan berkongsi layar buat pertama kali dengan anak perempuannya, Suhana Khan. Kolaborasi ini telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat, menjadikannya salah satu filem yang paling dinantikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi
